Keindahan di Sebalik Dinding Penjara Bentong

Setiap individu berhak memiliki kemahiran dalam hidup

Program Keindahan di Sebalik Dinding  (Beauty Behind The Wall) dilakukan sebagai mempersiapkan banduan wanita dengan kemahiran kulinari apabila bebas kelak.

Tengku Puan Pahang menunjukkan menu yang disediakan.

Kita sering cuba membayangkan bagaimanakah kehidupan banduan wanita dalam tahanan, apakah yang mereka lakukan dan bagaimana pula kehidupan yang akan dilalui apabila dibebaskan kelak. Mengambil kira setiap individu berhak diberi peluang kedua untuk kehidupan yang baik, Penjara Bentong dengan inisiatif KDYTM Tengku Puan Pahang, Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj dan disokong Resort World Genting mengadakan program Keindahan di Sebalik Dinding membabitkan seramai 19 tahanan wanita. Kesemua tahanan diberi latihan memasak atau kemahiran kulinari dengan bimbingan Chef Alex Vitalise daripada Resort World Genting.

KDYTM Tengku Puan Pahang bertitah, tujuan Program Sentuhan Wanita, Masakan Kasih Sayang dan Perniagaan ini yang pada asalnya dimulakan sejak Oktober lalu diadakan adalah untuk memberi panduan dan tunjuk ajar kepada  banduan mengenai kemahiran tertentu supaya dapat digunakan apabila mereka dibebaskan kelak.

 “Apa yang kita lakukan di sini adalah untuk memberi harapan kepada banduan dan mempersiapkan minda mereka mengenai peluang yang ada selepas meninggalkan penjara. Kami mahu memberi mereka latihan semasa mereka berada di sini dan menggalakkan supaya mereka aktif dalam menyumbang kepada masyarakat serta pada masa sama mempunyai punca pendapatan mereka sendiri. Ini sangat penting kerana kita mahu mereka menjadi individu berguna dan diterima oleh masyarakat. Kami berharap projek perintis dan inisiatif oleh Jabatan Penjara Malaysia dan sokongan oleh Resorts World Genting ini akan membuahkan hasil. Sekiranya berjaya, kami akan mengembangkan idea ini ke penjara lain di Pahang dan kemungkinan penjara lain di Malaysia pada masa akan datang, titahnya.

KDYTM Tengku Puan Pahang, Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Chef Alex dan penghuni wanita Penjara Bentong ketika sesi masakan berlangsung.

Program berkenaa, selain menjurus kepada bidang kulinari, kemahiran asas seperti elemen kebersihan makanan, pengurusan dapur, teknologi masakan, pengkomersialan resipi dan peluang dalam industri makanan turut diselitkan bertujuan memberi pemahaman kepada banduan. Penjara Bentong turut aktif menyediakan produk pastri seperti biskut, donut, muruku yang mana ia mampu menjana pendapatan terhadap banduan berkenaan.

Pada program ini juga, KDYTM Tengku Puan Pahang turut menyediakan beberapa resipi berasaskan pes asam pedas dan rendang yang diadaptasi daripada buku masakan  ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang’ dan ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang.’

 Program turut dimeriahkan dengan Chef Alex yang mengendalikan demo masakan selain bertindak membantu KDYTM Tengku Puan Pahang menyediakan lapan menu terpilih seperti pasta dan ikan kod menggunakan pes rendang dan asam pedas.

Chef Alex menyediakan spaghetti asam pedas sambil diperhatikan Tengku Puan Pahang.

 Selaras dengan titah KDYTM TPP untuk melengkapkan banduan wanita dengan kemampuan memasak makanan Barat yang lazim ditawarkan di kebanyakan kedai makan di Malaysia, 19 tahanan yang menyertai program ini turut diajar bagaimana pes / resipi dihasilkan TPP secara peribadi boleh diselaraskan dengan pelbagai citarasa Asia. TPP dan Chef Alex turut berinterasksi dengan tahanan dan cerita mereka. Selain mencuba menu disediakan KDYTM hadirin juga turut dihidang dengan pelbagai jenis manisan lain.

Turut hadir pada program ini, Dato’ Abdul Aziz Abdul Razali (Pengarah Penjara Negeri Pahang), Dato’ Sri Zulkifli Omar (Pengarah Penjara Se-Malaysia) dan Katherine Chew, Naib Presiden Komunikasi dan Perhubungan Awam Resorts World Genting.

The post Keindahan di Sebalik Dinding Penjara Bentong appeared first on Her Inspirasi.

No comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.