‘Saya Dah Bertunang Tapi Putus..’ – Doktor Kongsi Kisah Sayu Pesakit Kanser Tahap 4
Kerjaya seorang doktor bukannya mudah seperti mana yang kita fikirkan kerana tugas mereka tidak hanya tertumpu pada menyelamatkan nyawa seseorang, tapi lebih dari itu.
Baru-baru ini seorang doktor telah berkongsi kisah di laman Facebook tentang seorang pesakitnya yang mengayat hati.
Dah kahwin atau masih bujang?
Saya dipanggil oleh wad onkologi untuk bantu pemulihan seorang penghidap kanser prostat tahap 4.
Dimaklumkan bahawa kedua-dua belah buah pinggang pesakit telah membengkak, terpaksa dipasang PCN(tiub berwarna biru). Baru-baru ini pula beliau menjadi lumpuh kerana metastasis mula merebak ke tulang belakang dan saraf tunjang.
“Dah kahwin atau masih bujang?” soalku.
“Bujang” jawabnya pendek lalu tersenyum sambil menghela nafas dan dihembus laju melalui hidung. Saya dapat rasakan dia sedang menahan diri daripada meluahkan sesuatu.
“Ada apa-apa saya perlu tahu?” tanyaku lagi.
Saya dah bertunang, tapi putus
Bukan niat nak jaga tepi kain orang, cuma sebagai pegawai perubatan rehabilitasi, kami perlu ambil tahu hal ehwal sosioekonomi pesakit. Tandas jenis apa pun kami akan tanya. Ia membantu kami merancang rawatan pemulihan jangka masa panjang.
“Saya dah bertunang, tapi putus.”
“OK. Err… Sekarang tinggal dengan siapa?” saya tukar topik.
Seorang doktor perlu tahu di mana sempadan antara ambil tahu dan menyibuk.
“Dua orang kakak.”
“Di rumah, merekalah yang jaga awak?”
Saya sudisiasat lebih lanjut. Beliau ada 2 orang kakak, seorang daripadanya lemah separuh badan setelah menghidapi strok, manakala seorang lagi pula bekerja menyara mereka. Namun begitu setelah pesakit lumpuh, kakak yang bekerja itu terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaganya. Sekarang mereka hidup dengan wang simpanan yang ada.
“Rumah jenis macam mana? Teres, flat, atau sebuah-sebuah?” tanyaku lagi.
“Kami sewa rumah teres 2 bilik. Saya tidur di ruang tamu.”
“Katil awak di ruang tamu?”
Beliau tiada katil. Hanya tidur di atas tilam. Tandas jauh sedikit daripada ruang tamu, jadi beliau terpaksa pakai lampin pakai buang. Rumah ini juga hanya ada satu pintu masuk, iaitu di ruang tamu. Masuk rumah terus akan nampak pesakit terlantar di tilam.
“Ada kemungkinan untuk pindah rumah lain, tak?”
“Kami ada rumah pusaka, abang kami duduk sana.”
“kenapa tak duduk dengan abang?”
“Rumah tu dah nak roboh, doktor.”
“Nak roboh? Tadi awak kata abang awak tinggal di sana.”
“Oh, dia ada masalah suka memencilkan diri. Dia tak nak pindah keluar walaupun nak roboh.”
—Ada rumah pusaka, sudah usang.
—Abang bermasalah kesihatan mental.
—Salah seorang kakak, angin ahmar.
—Pesakit pula mengidapi kanser dan lumpuh.
—Yang tinggal hanyalah seorang kakak yang terpaksa tanggung keluarga ini.
Berat betul dugaan.
Kalau memang jodoh kami, saya jemput dia di pintu syurga
Perkara-perkara seperti ini kadangkala doktor di wad terlepas pandang. Pesakit dirawat dan apabila stabil, dibenarkan pulang. Jadi tidak hairanlah, beberapa bulan kemudian, pesakit masuk kembali ke hospital dengan keadaan yang lebih teruk.
Di sinilah fungsi kewujudan kami, Jabatan Rehabilitasi, memastikan kelangsungan hidup pesakit. Rawatan tidak berhenti sekadar hanya di wad, ia diteruskan di rumah. Maka kami akan kenal pasti waris atau penjaga untuk dilatih meneruskan perawatan dirumah.
Kami juga akan pastikan pesakit ada rumah untuk pulang, malah kami akan pastikan rumah itu kondusif untuk pemulihan pesakit. Jika mereka perlukan bantuan kewangan atau peralatan, kami akan rujuk ke Jabatan Kerja Sosial untuk tindakan lanjut.
Setelah aku dapatkan semua maklumat yang perlu, lakukan pemeriksaan dan menerangkan perancangan rawatan pemulihan, saya beransur meminta diri.
“Doktor! Pertunangan saya tu, saya yang minta putus. Doktor jangan fikir bekas tunang saya yang putuskan pula. Kami putus secara baik, tiada gaduh-gaduh” ujarnya sebelum saya mengorak langkah.
“Jangan risau. Saya tak taruh syak wasangka.”
“Bukan apa, saya tak mahu dia kongsi keperitan dan derita saya. Biarlah saya dan keluarga saya sahaja tanggung. Tak apa, kalau memang jodoh kami, saya jemput dia di pintu syurga. Jika tidak, saya tumpang bahagia sebab dia jumpa pengganti saya.” ceritanya tenang.
Pilu pula rasa hati.
Tiada cinta lebih agung daripada cinta Ilahi
Ini bukan skrip drama. Ini realiti kehidupan seorang manusia, yang terpaksa melepaskan cinta kerana cinta. Namun begitu, tiada cinta lebih agung daripada cinta Illahi. Penderitaan pesakit ini telah berakhir, beliau telah pulang dijemput Tuhannya.
Al-fatihah.
Sekarang lihat hidup kita. Mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan, yang kita hendak dustakan?
Nota: Ini kisah 3 tahun lepas, semasa saya masih lagi di jabatan rehabilitasi hospital kerajaan. Sekarang saya dah buka pusat rehabilitasi sendiri.
Sumber: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
No comments
Note: Only a member of this blog may post a comment.